Wednesday, July 20, 2011

PERADUAN DUNIA SUSU IBU 2011




6.1 : Kategori                  : Bersalin Normal
6.2 : Tarikh Lahir Anak  : 05 Mac 2011 (Nur Ainul Mardhiah bt. Shamsol)


6.3 Entri / keterangan berdasarkan kategori yang dipilih.

            Sepanjang mengandungkan anakku yang ketiga ini, pelbagai cabaran dan rintangan terpaksa aku lalui. Bermula dengan serangan ‘morning sickness’ di awal tiga bulan pertama mengandung. Sehingga selera makanku menjadi kurang. Setiap kali pergi ‘check up’ pasti berat badanku turun. Kadang-kadang hampir mencecah 1kilogram kurangnya.

            Pada bulan-bulan terakhir mengandung, aku di serang demam dan sakit gigi yang teruk sehingga berminggu juga lah. Hinggakan aku kerap mendapat cuti (MC) daripada doktor kerana keadaan kesihatanku yang tidak menentu. Aku juga mengalami masalah ‘vena verikos’ yang kritikal sehingga urat kakiku timbul dan kakiku selalu kejang. Bukan semasa cuaca sejuk sahaja, kadang-kadang sewaktu berjalan dan berdiri juga, kakiku boleh menjadi kejang. Keadaan ini memaksaku untuk memakai stoking selama 24 jam sehari. Tetapi bukan sebarang stoking. Stoking yang ku pakai itu telah dibeli khas di farmasi dengan harga RM90 sepasang. Stoking itu menutupi seluruh kakiku hingga ke paha.

            Syukur teramat sangat dengan adanya suami di sisi yang telah menjagaku di saat-saat aku tidak berdaya untuk menguruskan anak-anak dan rumahtangga. Dia juga lah yang bersengkang mata menjagaku di kala aku di serang demam. Kebetulan pula anak-anakku turut demam pada waktu yang sama.  Terima kasih papa.

            Sabtu (05 Mac 2011), ketika bangun pada pagi itu ku rasakan kelainan pada diriku. Katil dan pakaianku basah. Tetapi aku tidak berasa sakit walau sedikit pun. Risau berlaku apa-apa pada kandunganku, aku telah meminta suami membawaku ke klinik kesihatan yang berhampiran. Setelah di periksa, jururawat telah memberitahuku itu adalah tanda hendak bersalin (kembar air). Bukaan pada masa itu baru mencecah 2cm. Aku telah di arahkan untuk pergi ke klinik ‘ABC’ (Altenative Birth Centre) di bandar Kuala Rompin untuk menjalani proses bersalin secara normal di sana.

(Klinik ABC, Kuala Rompin, Pahang)

            Seperti biasa setelah pemeriksaan rutin di jalankan (urine test, tekanan darah, bukaan laluan dan kontraksi), aku telah di sorongkan ke bilik bersalin untuk menunggu saat-saat kelahiran bayiku. Pakaian bayiku telah di atur dengan kemas berhampiran dengan katilku. Sah (confirm) aku boleh bersalin dengan normal di Kuala Rompin sahaja, fikirku.

            Pukul 1.00 petang, kontraksi ku rasakan semakin kuat dan kerap. Bukaan pada masa itu sudah mencecah 5cm. Setelah diperiksa, kepala anakku masih jauh dan tinggi dari laluan pintu keluarnya. Kepalanya masih boleh bergerak-gerak. Di atas sebab itu, aku telah di arahkan untuk kembali masuk ke wad, berehat dan makan tengah hari dahulu sebelum pemeriksaan kali kedua dijalankan.

            Pukul 3.00 petang,sekali lagi aku masuk ke bilik bersalin. Jururawat yang bertukar syif telah memeriksaku. Beliau amat terkejut  kerana kepala anakku masih bergerak-gerak dan boleh turun naik bila di tekan. Kepala anakku masih tinggi lagi dan tidak masuk dengan kemas di pintu laluan.  Mengikut bukaan pada masa itu dan kekerapan kontraksi, sepatutnya aku boleh bersalin pada bila-bila masa sahaja. Tapi macam mana hendak bersalin kalau kepalanya  tidak masuk ke laluan keluarnya (?????).

            Doktor terpaksa di panggil kerana risaukan kemungkinan anakku lemas. Setelah beliau meminta pandangan  doktor pakar di HTAA (Hospital Tuanku Ampuan Afzan), Kuantan aku diarahkan untuk di hantar terus ke sana dengan menaiki ambulans (kali ketiga naik ambulans, agaknya semua anak-anak aku suka naik ambulans kot).  Ini kerana di klinik  ‘ABC’ kekurangan peralatan dan tiada pakar yang mahir untuk menguruskan kes aku ini.

            Pukul 6.30pm, apabila tiba di HTAA, Kuantan aku di sambut dengan cemas oleh pakar perbidanan, jururawat-jururawat dan doktor-doktor pelatih. Mak oiii… ramainya orang. Rasanya kes aku ini mesti kes berat. Sahlah… aku kena ‘operate’ lepas ni, fikirku. Aduh, takutnya aku. Jeng…jeng…jeng…

            Setelah di scan, di periksa tekanan jantung anakku dan di ambil tekanan darahku doktor mengatakan bahawa aku tidak mempunyai apa-apa masalah untuk bersalin normal. Syukur, lega aku mendengar kenyatan doktor tersebut. Setelah air ketubanku dipecahkan, belum sempat aku di ‘induse’kan (masuk air melalui tiub), aku dapat merasakan bahawa sudah sampai masanya untuk anakku keluar. Aku di arahkan untuk memegang keting dan meneran sekuat tenagaku. Tetapi kerana kepenatan dan keletihan (menahan sakit hendak bersalin dari tengah hari hingga ke petang) serta di tambah dengan rasa mengantuk,  aku sampai terlupa cara-cara untuk meneran (?????). Gas oksigen yang diberikan ku buang entah ke mana. Akhirnya setelah mencuba beberapa kali barulah anakku berjaya keluar. Alhamdulillah…


(Hari pertama selepas di lahirkan)

            Pukul 7.15 petang, aku telah selamat melahirkan seorang anak perempuan yang comel seberat 3.6kg yang di beri nama Nur Ainul Mardhiah binti Shamsol. Hilang segala penat dan sakit melahirkan apabila anakku di letakkan di dadaku. Sungguh comel  anakku. Anak yang  aku kandung  selama 40 minggu. Syukur tidak terhingga kepada Allah kerana memberikan anugerah yang sesempurna  dan sesihat ini kepadaku.

            Terima kasih juga kepada suamiku kerana sudi menemaniku sepanjang aku berada di wad bersalin dan memberikanku dorongan serta perangsang kepadaku di kala aku memerlukannya.

            6.3.1 Apa yang berlaku semasa penyusuan?
           
            6.3.2 Cara menghadapi dan menyelesaikan masalah.

Bengkak Susu
           
            Pada peringkat awal penyusuan, segalanya berjalan dengan lancar. Anakku telah selamat ku susukan selepas satu jam di lahirkan (jururawat mengambil masa yang lama untuk menjahit lukaku). Sepanjang berada di hospital, aku telah menyusukan anakku dengan susuku sepenuhnya. Ku gembira dan bangga di kala melihat anakku tidur kekeyangan dan tidak meragam dan merengek seperti bayi lain.

            Selepas balik dari hospital, aku mengalami bengkak susu yang teruk. Hendak pam, pam (manual) yang lama pulak rosak dan tidak berfungsi. Hendak menggunakan cara ‘marmet’ (tangan) aku tidak mahir. Jadi aku cuma berharap bengkakku akan berkurangan semasa anakku menyusu. Tetapi hasilnya tidak memuaskan. Bengkak susuku cuma surut sedikit sahaja. Pada masa itu hendak angkat tangan pun terasa sakitnya.  Badanku ku rasa sengal-sengal dan bisa-bisa. Macam hendak demam rasanya.

            Atas nasihat jururawat yang datang ke rumah, ku cuba menghilangkan rasa sakit dengan meletakkan kain yang telah ku rendam ke dalam ketulan ais dan air sejuk di kawasan yang bengkak. Apabila sakit berkurangan, aku telah cuba bertungku di bahagian tersebut. Tujuannya adalah untuk melancarkan pengaliran susu dan memastikan laluan keluar susu tidak tersumbat. Bidan yang mengurutku juga telah membantuku dengan mengurut di bahagian yang bengkak. Walaupun sakit, ku tahan sahaja. Aku tidak kisah asalkan sakitku hilang dan tiada bengkak susu lagi. Selepas dua tiga kali menjalankan petua-petua yang diberi, akhirnya bahagian yang bengkak menjadi lembut dan susu mengalir keluar dengan lancar. Alhamdulillah. Selesai satu masalah.

(Nur Ainul Mardhiah, 4 bulan)

            Puting Luka

            Perkara kedua ini seringkali berlaku kepadaku setiap kali aku menyusukan anakku (dari anak pertama sehingga anak ketiga). Setiap kali anakku menyusu, aku amat berharap sangat janganlah anakku ini menghisap dengan terlalu kuat. Sakit dan pedih hanya Tuhan sahajalah yang tahu. Kebiasaannya aku akan menyusukan anakku di sebelah bahagian yang kurang luka dahulu. Bahagian yang teruk lukanya di biarkan dahulu dengan harapan luka tersebut cepat pulih.

Melalui pembacaan dan carian maklumat di internet akhirnya ku temui sebab berlakunya perkara sedemikian. Pertama, adalah posisi menyusu yang salah. Kedua, cara lekapan penyusuan yang tidak betul. Aku juga turut menyuarakan masalahku ini kepada jururawat yang datang ke rumah.  Beliau telah menasihatiku supaya meneruskan penyusuan seperti biasa dan jangan sapu sebarang ubat di bahagian luka tersebut. Cuma basahkan dengan air susu sahaja.

(Semasa perjalanan balik ke kampung)

Aku turut melakukan pemberatan penyusuan di bahagian yang kurang luka dahulu. Kemudian barulah di beri susu di bahagian yang luka.  Dalam dua tiga hari selepas itu lukaku pulih sepenuhnya. Aku meneruskan proses penyusuan seperti biasa tanpa perlu menanggung kesakitan dan keperitan setiap kali menyusukan anakku.  Alhamdulillah. Masalah kedua berjaya ku atasi. Syukur sangat-sangat ke hadrat Illahi.

ASI kurang

            Sebelum melahirkan anakku yang ketiga, aku telah bertekad untuk mengambil cuti yang panjang (3 bulan) supaya  boleh meluangkan banyak masa bersama anakku.  Aku telah menjalani proses berpantang dan berurut di rumah sendiri sahaja dengan bantuan daripada suami tercinta. Aku telah mengambil keputusan ini memandangkan anakku yang sulung sudah bersekolah (prasekolah, 5 tahun) dan berasa kasihan kepada suamiku yang terpaksa keletihan berulang-alik saban minggu untuk menjengukku dan anak-anak.


(Permata hatiku)

            Lagipun pengalaman berpantang sebanyak dua kali di rumah emak sebelum ini rasanya sudah cukup untuk dijadikan  sebagai panduan untuk berpantang sendiri. Memang nenekku agak bising pada mulanya apabila ku suarakan hasrat untuk berpantang sendiri.  Dia risau kalau-kalau suamiku tidak mampu menjagaku dengan elok.  Tetapi Alhamdulillah, suami banyak membantu dan menolongku. Kesian jugak pada suamiku apabila melihat dia tertidur keletihan selepas sepanjang hari menguruskan rumah, anak-anak dan memasak untukku. Perkara yang tidak dapat di lupakan adalah ketika melihat suamiku memandikan anakku. Walaupun nampak kekok pada awalnya, tetapi beliau berjaya juga memandikan anakku. Yelah… anak kecik lagi dan terlentok-lentok pula, kita pun yang perempuan ini pun kadang-kadang tidak berani. Tahniah sayang. Anda berjaya.

(Stok EBM)

            Selepas dua bulan, ku rasakan susu badanku semakin berkurangan. Risau pulak rasanya. Janganlah jadi macam kakaknya, Humairah yang menyusu badan selama 5 bulan sahaja. Sampai sekarang ku rasa sedih dan kesian pada Humairah yang kurang dapat merasai nikmat susu ibu. Pada waktu itu aku kurang mendapat maklumat tentang cara-cara untuk menambah pengeluaran susu badan dan pada masa itu juga aku turut mengalami tekanan kerja yang teruk.

            Cemburu rasanya apabila melihat ibu-ibu lain berjaya menyusukan anak-anak mereka dengan susu ibu sehingga mencecah usia 2 tahun.

            Atas dasar ini, lantas aku mencari seberapa banyak maklumat yang ada di internet tentang cara-cara memperbanyakkan susu ibu. Lima konsep asas ini telah ku amalkan sehingga kini.

1.      Pam, pam dan pam
a.   Kerap mengosongkan payudara. Apabila kosong, susu akan cepat di isi.
b. Pada peringkat awal, aku kerap melakukan pam berganda setiap hari (10 minit sebelah kanan, 10 minit sebelah kiri dan di ulang selama 60 minit). Tujuannya untuk memberitahu otak yang anakku mahu susu lebih banyak lagi. Biasanya ku lakukan pada sebelah malam.
c.   Aku akan pastikan selang 2/3 jam sekali kalau tidak direct BF anakku, susu
     akan di pam untuk di jadikan stok EBM anakku.
d.  Pada sebelah malam, aku akan mengunci jam untuk bangun menyusukan anakku.
e.  Jika anakku tidur, aku akan mengejutkan dia apabila tiba waktu untuk menyusu.
f.   Aku telah berazam, aku akan pastikan dalam sehari, sekurang-kurangnya proses mengepam susu berlaku sebanyak 3 kali atau paling minima 9 oz. Jika tidak cukup, aku akan pastikan kekurangan tersebut di ganti balik.

(Pam UNIMOM ku)

g. Aku juga telah membuat jadual perahan stok EBM anakku secara bulanan dengan tujuan memberi motivasi kepadaku agar tekun melakukan proses mengepam setiap hari dan sebagai rujukanku untuk mengetahui jumlah terkini stok EBM yang ada dalam simpananku.

(Jadual stok EBM bulan Mei 2011)


(Jadual Stok EBM bulan Jun 2011)


(Jadual Stok EBM bulan Julai 2011)

Jumlah stok EBM bulan Mei 2011   = 203 oz
Jumlah stok EBM bulan Jun 2011   = 306 oz
Jumlah stok EBM bulan Julai 2011 = 459 oz
Jumlah keseluruhan bg 3 bulan       = 968 oz

Pada peringkat awal, memang aku sentiasa penat dan keletihan. Tetapi lama-kelamaan ia telah menjadi rutin harianku. Semuanya ku lakukan demi anakku.

2.    Minum air putih / kosong.

 Paling sedikit pun 3 liter sehari akan ku ambil (nisbah keperluan air manusia, berat 25 kilogram = 1 liter air perlu di minum setiap hari).

Sebenarnya, aku ni bukannya jenis orang yang suka minum air bergelen-gelen. Cukup sekadar menghilangkan dahaga sahaja. Kalau dah minum 3 liter sehari, kekerapan pergi ke tandas juga tinggi. Penat juga berulang-alik ke tandas setiap hari. Tetapi setelah banyak info ku ketahui tentang kebaikkan meminum air kosong ni, aku menjadi berkobar-kobar untuk meneruskan misi ini.

Hingga saati ini, air bergas langsung tidak ku sentuh. Cuma air sejuk, itupun kadang-kadang sahaja, kalau pergi kenduri. Kalau minum di luar, aku sanggup meminta air suam ataupun air panas sahaja.

(Bekalan vitamin dan air)

3.   Makanan yang sihat dan seimbang serta vitamin tambahan.
Beberapa jenis vitamin (vitamin B Complex, C, E, Alfafa, Multivitamin) telah ku ambil untuk menampung kekurangan bekalan nutrien pada makanan yang ku makan setiap hari. Vitamin tersebut juga penting dalam memastikan aku sentiasa cergas dan sihat sepanjang hari.

(Makanan seimbang mengikut piramid makanan)


Aku perasan, sejak mengambil vitamin, pengeluaran susu ku meningkat dan susu menjadi lebih pekat (berkualiti dan lebih berzat) dari kebiasaannya. Masa menyusu anakku juga singkat kerana dia cepat kenyang.

4.   Rehat yang cukup
Jika aku penat dan tidak bertenaga dalam satu hari, aku perasan keinginanku  untuk menyusukan anak menjadi kurang. Jadi aku akan pastikan jika ada masa walau sekejap sahaja, aku akan berehat.

Aku tahu jika aku letih dan tidak bertenaga, penghasilan dan pengeluaran susu akan menjadi kurang.

5. Berdoa
Aku sentiasa berdoa  agar anakku ini akan berterusan mendapat bekalan susu ibu semaksimum yang boleh. Kalau boleh biarlah sehingga anakku mencecah usia 2 tahun.


(Stok EBM bulan Jun dan Julai 2011)

            Berkat dari 5 konsep asas yang ku amalkan ini, hasilnya memang memberangsangkan. (Walaupun susu tidak semeriah orang lain). Kalau dulu kena ambil masa sejam jugaklah untuk mendapatkan 6 oz. Tetapi sekarang aku cuma menggunakan masa setengah jam sahaja (30 minit) untuk sekali sesi perahan. Syabas Noris.. he he he…

            Pam rosak

            Selepas habis tempoh berpantang, barulah aku berpeluang untuk mencari pam yang baru (pam lama  rosak – manual). Setelah mencari dari satu kedai ke satu kedai, aku tertawan hati dengan pam elektrik UNIMOM. Dengan saiznya yang kecil dan dwi guna (bateri dan elektrik), akhirnya pam UNIMOM ku beli dengan harga RM338. Kebetulan bulan adalah itu giliranku mendapat duit kutu.


(Pam UNIMOM)

            Pam ini banyak membantuku dalam usaha menggandakan dan menyimpan stok susu (EBM) untuk anakku. Pam UNIMOM  sentiasa ku usung ke sini sana. Ku bawa juga pam ini balik ke kampung (Melaka dan Terengganu). Ada sahaja masa terluang, cepat-cepat aku menggunakan pam ini. Dapat juga ku tambah bekalan stok susu anakku di rumah. Setiap kali pulang ke kampung, pasti ku bawa sekali termos makananku kerana pada masa itu aku tidak mempunyai sebarang ‘cooler bag’ pun. Termos tersebut aku gunakan untuk mengisi susu yang telah di perah dan ku penuhkan ia dengan ketul ais supaya kekal dalam keadaan sejuk sehingga aku selamat sampai di rumah. Alhamdulillah, berjaya juga caraku ini.


(Termos pengganti ‘cooler bag’)

            Pada 8 Jun 2011, ketika aku baru sebulan menggunakan pamku. Semasa itu aku berada di Terengganu (rumah mertua), peristiwa malang telah menimpa. Pada pagi itu, kira-kira pukul 8.15 pagi sedang aku menjalankan proses mengepam susu, tiba-tiba sahaja pam aku ‘mati’ (tidak boleh di ‘on’ kan). Alamak… pagi itu, aku cuma sempat pam sekali sahaja (5 oz). Aku tidak memberitahu suamiku pada awalnya. Ku fikir pada masa itu, mungkin pam tersebut ‘penat’ sebab terlalu kerap di gunakan.  Aku masih mengharap setelah di rehatkan sehari, esoknya bolehlah ia di hidupkan semula.

            9 Jun 2011, pagi itu ku cuba menghidupkannya sekali lagi. Hampa berkecai harapanku. Pam tersebut masih dalam keadaan yang sama (tidak boleh ‘on’). Kebetulan pada hari itu kami terpaksa ke Kuantan membawa anak sulung kami berjumpa dengan doktor. Ku diamkan dan pendamkan dulu masalahku ini daripada pengetahuan suamiku.

            Tengah hari, selesai sahaja urusan anakku  barulah aku menceritakan perihal pam UNIMOM ku kepada suamiku. Suamiku menyarankan kepadaku supaya menelefon ke bahagian servis UNIMOM memandangkan tempoh  ‘warranty’ (jaminan) masih ada lagi. Lega rasanya, apabila bahagian servis UNIMOM tersebut mengatakan bahawa pam tersebut boleh di baiki (kerosakan motor). Tetapi… aku perlu mengepos pam tersebut ke pusatnya di Kuala Lumpur dan ianya akan mengambil masa tiga hingga lima hari untuk di baiki (mak ooiii…lamanya).

            Setelah di tolak, di tambah, di darab dan di bahagi, proses tersebut mengambil masa lebih seminggu untuk sampai ke tanganku semula. Ya Allah, takkanlah aku tidak buat apa-apa (mengepam susu) sepanjang ketiadaan pam ku itu. Baru sahaja hendak meningkatkan pengeluaran, dah jadi gini. Tidak boleh jadi ini, fikirku. Minggu hadapan dah mula kerja dah. Macam mana nak simpan stok kalau tiada pam. Cara ‘marmet’ memang ku tidak mahir.

            Hari itu juga aku dan suamiku berusaha mencari pam alternatif (sementara) untuk meneruskan misi menyimpan stok susu (EBM) ku. Akhirnya, aku telah berjaya membeli pam picit (manual) brand ANAKKU. Sebelum ini aku ada juga menggunakan pam tangan (manual) ANAKKU (di gunakan untuk anak yang pertama dan kedua). Hendak beli pam elektrik, lari budget pulak. Lagipun niatku hanya untuk guna sementara sahaja sebelum pam UNIMOM ku siap di baiki.

(Pam picit ANAKKU)

            Ku cuba menggunakannya, Ya Allah.. terasa perit dan sakitnya. Dalam sakit-sakit itu, aku berjaya juga mengepam sebanyak dua kali pada petang itu dengan hasilnya sebanyak 11oz. Rasa ingin menangis setiap kali aku gunakan pam tersebut.  Kalau dulu bolehlah aku gunakan pam bila-bila masa sahaja untuk mengosongkan susu. Tetapi kali ini, terpaksa ku tunggu sehingga susu betul-betul penuh barulah di pam. Aku menjadi fobia dengan cengkaman pam yang terlalu kuat.

            Dua hari selepas itu, tiba-tiba aku tergerak hati untuk menghidupkan lagi sekali pam UNIMOM ku itu. Aku berdoa dan berharap sangat-sangat agar pam aku kembali boleh di gunakan. Tidak sanggup rasanya menanggung keperitan lebih lama lagi. Ku usap-usap dan tunggang terbalikkan pam tersebut. Ku sambungkan wayar pada panel suis. Dan Bismillah…suis di tekan. Alhamdulillah, terdapat nyalaan merah pada pam ku. Akhirnya pam aku boleh di gunakan semula. Hari itu juga ku teruskan misi menambah stok bekalan susu anakku. Tidak jadilah menghantar ke ‘worksyop’ pam aku itu.

            Pam picit ANAKKU, ku simpan kemas-kemas di dalam kotak. Manalah tahu selepas ini kalau-kalau berlaku darurat lagi seperti sebelum ini. Adalah ‘backup’ sementara (daripada tiada langsung).

            Walaupun sekarang ini pam UNIMOM ku kejap-kejap ‘off’ sendiri apabila aku menggunakannya, tetapi aku berharap sangat agar ianya akan bertahan lama. Selama yang boleh. Janganlah  pam ini rosak lagi. Tunggulah dulu sebelum aku mampu untuk membeli pam yang baru. Ishk… ishk…ishk… pam oh pam.

            Pemberian Susu Perahan

(Stok EBM beku)

            Setelah anakku berusia 2 bulan, barulah aku mula melatihnya meminum susu perahan. Pada peringkat awal, aku telah memberikan susu perahan dengan menggunakan cawan kecil seperti saranan pakar. Tetapi bukan masuk ke mulut habis semuanya meleleh keluar. Ku cuba menggunakan sudu pula. Tetapi hasilnya tetap sama jugak. Berhari-hari juga lah ku cuba. Kesian anakku terpaksa berlapar. Ingatkan kalau dia lapar, susu tersebut akan di minum. Tetapi hampa.  


(Sumber: Panduan Penyusuan Susu Ibu Bagi Ibu Bekerjaya, 2009)

Minggu kedua latihan, ku teruskan pula dengan menggunakan botol susu. Puting pertama ku cuba adalah warna putih (saiz s). 1oz susu ku isikan ke dalamnya. Perlahan-lahan ku masukkan ke dalam mulut anakku. Tiba-tiba ku tengok puting tersebut bergerak ke kiri dan ke kanan. Pandai pulak anakku ini menolak puting tersebut dengan lidahnya. Sepanjang pagi sehingga ke tengah hari ku cuba.  Akhir sekali anakku tertidur dalam keletihan dan kelaparan. Letih menolak puting dengan lidahnya. Aku jadi kasihan melihat anakku. Tengah hari itu ku beri juga dia menyusu badan (direct BF). Perkara sama berlaku juga pada hari berikutnya.

Puting ‘wide neck’ pula ku gunakan pada minggu berikutnya. Menangis dan melalak-lalak anakku tidak mahu menghisapnya. Sedih dan pilu melihat anakku berair matanya. Seperti biasa, masuk sahaja tengah hari ku beri susuku. Macam mana ni, dah dua minggu dah, tapi anakku masih tidak mahu menghisap susu perahanku?  Ini tidak boleh jadi ni, fikirku.

Atas nasihat beberapa orang, aku telah menyuruh suamiku pula yang memberikan anakku susu perahan. Dua tiga kali di cuba gagal. Anakku menolak dengan lidah dan terseyum nakal. Pandai sungguh la anakku ini. Nak yang ’fresh’ sahaja. Ainu..Ainu..

(Nur Ainul Mardhiah)

Minggu berikutnya, ku cuba mencari puting yang lain pula. Puting ‘doctor baby’ berwarna coklat kekuningan ku beli. Ku rendam di dalam air panas seketika (steril). Harap-harap anakku suka dengan puting ini. Susu sebanyak 2 oz di masukkan ke dalam botol. Setelah susu di panaskan seketika di dalam warmer, ku letakkan puting tersebut di bibir anakku. Perlahan-lahan mulutnya terbuka. Ku masukkan dengan berhati-hati dan menunggu agar anakku melakukan hisapannya sendiri. Nyot.. nyot.. nyot, akhirnya anakku telah menghisap susu perahanku yang pertama. Habis licin 2 oz susu di hisapnya. Alhamdulillah. Syukur tak terhingga. Selepas ini tidak perlulah aku risau anakku menangis kelaparan di rumah pengasuh sepanjang hari. Dua tiga hari selepas itu ku cuba lagi, tetapi cuma sekali sahaja sehari ku latihnya kerana kebiasaannya pada tengah hari aku akan mengambil anakku pulang. Itu pun kalau tiada sebarang aktiviti di sekolah (mesyuarat, koko, program dan kursus) pada sebelah petangnya.

(Mensteril botol susu dan perkakasan penyusuan secara manual)

(Proses pensterilan sedang di jalankan)

Sehari sebelum aku mula bekerja semula, aku telah ke rumah  pengasuh anakku untuk memberi penerangan tentang cara-cara yang betul untuk mengendalikan dan menyediakan susu EBM. Alhamdulillah, pengasuh anakku itu boleh terima dan faham konsep  penyusuan susu ibu.  Risau juga pada awalnya kalau-kalau pengasuh tidak mahu menerima sistem ini. Kerana ini adalah kali pertama dia mengendalikan EBM. Dia juga faham dengan penerangan ringkasku.  Untuk memudahkan proses memanaskan susu perahan (suhu susu mestilah kurang dari 40 darjah celcius), aku dengan rela hati telah memberikan ‘warmer’ kepada pengasuh anakku. Aku tidak kisah, demi anakku, ku rela. Asalkan anakku sihat dan dapat cukup nutrien yang diperlukannya, aku tumpang gembira. InsyaAllah…
           
            6.3.4 Sokongan yang diperolehi

                        Suami

                        Alhamdulillah, walaupun pada  peringkat awal suamiku tidak berapa faham sangat dengan konsep penyusuan susu ibu, cara penyimpanan dan penggunaan EBM tetapi sokongan 100% telah beliau berikan dengan cara membenarkanku membeli pam dan vitamin tambahan. Pam UNIMOM ku beli pada harga RM338 yang pada kami harganya agak mahal jugaklah sehingga melangkaui budget bulanan kami. Beliau juga turut membantuku mencari pam alternatif apabila pamku rosak sekejap hari itu.

(Suamiku, En Shamsol bin Ngari)

            Beliau jugalah dengan sabar melayan kerenah anak-anak di saat aku sedang menyusukan anakku ataupun ketika aku mengepam susu (EBM). Beliau turut tumpang berbangga apabila melihat stok EBM aku penuh di dalam peti ais dan beliau berharap agar aku dapat terus memberikan anakku susu ibu selama yang boleh (kalau boleh sehingga 2 tahun). Beliau juga berasa gembira apabila melihat anakku sihat, gembira, ceria dan tidak meragam berkat susu ibu yang diberi. Terima kasih papa.

(Bersama anak sulungku, Muhammad Hazqil)

            Keluarga dan rakan

            Juga tidak ketinggalan, mak, umi, adik-adikku serta rakan-rakan yang banyak memberikan tips-tips dan petua-petua berkenaan cara menguruskan dan mengendalikan anak-anak serta menjalankan proses penyusuan susu ibu dengan berhemah.

(Muhammad Hazqil dan Nur Damia Humairah)

            Akhir sekali, tidak lupa juga kepada rakan-rakan blog (walaupun ada yang tidak ku kenali) yang telah banyak menyumbang petua dan nasihat-nasihat yang berguna di dalam usahaku untuk meneruskan penyusuan susu ibu dengan lebih lama lagi. Tanpa sokongan dan bantuan yang  kalian berikan, mungkin usaha ini berhenti separuh jalan sahaja. Sokongan dan bantuan yang di berikan tidak mampu di bayar dengan wang ringgit. Semoga Allah memberkati hidup kalian semua. Jutaan terima kasih Noris ucapkan. Wassalam…

10 comments:

  1. Sila tinggalkan komen setelah membaca coretan ini...

    ReplyDelete
  2. cerita yang menarik..pengalaman yang boleh di kongsi

    ReplyDelete
  3. Ayu : Satu pengalaman yang menarik.

    ReplyDelete
  4. mana gambar mama dia..

    ReplyDelete
  5. noris..pengalaman yang menarik..utk next baby nk jgk try mcm noris utk full breast feed..anak era yg ke 2 ni, hanya breast feed slama 6 bln shj...kena induksi 2 minggu, balik jer dr. induksi, trs dia dah x nak...hopefully utk next baby, dpt trskan lg breast feed...insyaallah...

    ReplyDelete
  6. tahniah kak ngah... org pun baru ade blog... nanti tgok nyer... teruskan usaha... mesti ade niat nak beli frezer plak kan... hehehe,, tkpe plan2 ye..

    ReplyDelete
  7. buat masa ni xde lg gambar mama dia... xsempat nak letak.. InsyaAllah akan menyusul selepas ini.

    ReplyDelete
  8. saerah : boleh... sy pun yg kedua tu 5 bln jer bf. yg ke 3 ni baru timbul kesedaran..

    ReplyDelete
  9. iburismie : org pun baru 3 hari jer buat blog ni.. tu yg simple jer.. nak ltk kat fb payah lak org nak baca. kecik sgt.. dah tgk dah blog awak. xpe buat pelan2.. join la contest ni.
    iburismie : memang tgh survey deep freezer ni.. nak cr yg second jer..dah nak penuh dah peti ais org..

    ReplyDelete
  10. terima kasih kerana sudi berkongsi pengalaman menyusukan anak. banyak tips dan petua di dalam ini yang boleh saya amalkan.

    ReplyDelete